Thursday 25 December 2014

SALUTE ULTRAS MALAYA

Artikel Dari BH

HMC (Ultras Malaya) sedia semarak semangat juang pasukan negara
Oleh Wan Jailani Razak
wanjai@bh.com.my
Terbitan BH - 2 Disember 2008


KETIKA jurulatih skuad bola sepak negara, B Sathianathan menuntut sokongan padu peminat tempatan bagi menyemarakkan semangat juang pemain di padang, sekumpulan remaja kini setia muncul di sudut bangku penonton.
Menamakan kumpulan sebagai Harimau Malaya.Com (HMC), mereka terus bersorak ketika pemain negara melakukan jaringan dan tetap melaungkan kata-kata semangat walaupun ketika jaring gol dibolosi lawan.
Ketika perlawanan persahabatan yang menyaksikan Malaysia dan Singapura terikat 2-2 di Stadium Petaling Jaya, Sabtu lalu, laungan `Malaysia Aum' (tiga kali) diikuti `Aum' (tiga kali) bergema di stadium yang lengang.
Kehadiran mereka bagi menggantikan kumpulan penyokong veteran yang menyepi boleh dianggap penawar duka kepada Sathia dan pemain yang mengharapkan tenaga tambahan daripada penyokong sebagai pemain ke-12.
Jurucakap rasmi HMC, Mohd Aisamuddin Mat Hassan, berkata kumpulan itu ditubuhkan lebih setahun lalu dengan menggunakan internet sebagai medium pengantara, selaras rentak remaja masa kini.
Katanya, mengambil nama Harimau Malaya sempena jolokan yang pernah diberikan kepada skuad negara suatu ketika dahulu, kumpulan itu kini disertai hampir 1,000 ahli berdaftar.
"Objektif kumpulan ini mudah, kami ingin mengembalikan kegemilangan sorakan penyokong setaraf zaman kehebatan negara di Stadium Merdeka.
"Kami berazam untuk menyemai semangat patriotisme dan integriti nasional melalui sukan bola sepak. Walaupun konsep kami hampir sama dengan konsep `ultras' di kalangan penyokong bola sepak di Eropah, penerapan nilai dan budaya ketimuran tetap diutamakan.
"Asas kepada konsep `ultras' ini ialah berdiri dan menyanyi sepanjang perlawanan berlangsung bagi menunjukkan kesetiaan komuniti HarimauMalaya.com kepada pasukan kebangsaan, dan sebagai menjalankan tanggungjawab sebagai pemain ke-12 dengan sebaik mungkin," katanya.
Mereka yang mahu menyertai komuniti ini untuk bersama mengembalikan zaman kegemilangan bola sepak negara hanya perlu melayari www.harimaumalaya.com.
Boleh dikatakan, apa yang mereka cuba ketengahkan ialah sesuatu yang baru yang mana ia menjadi asimilasi di antara konsep `ultras' dan budaya nilai dan budaya timur yang sudah sebati dengan kita.
Tidak wujud unsur samseng bola sepak dalam kumpulan ini. Yang wujud, ialah suasana ceria sambil menyokong pasukan kebangsaan, sesuai untuk segenap lapisan masyarakat tanpa mengira agama dan bangsa.
Laman web harimaumalaya.com yang menjadi wadah perhubungan mereka kini mampu berbangga dengan purata jumlah pengunjung sebanyak 3,500 `hits' sehari.
Mohd Aisamuddin berkata, kumpulan itu juga sudah menubuhkan sebuah syarikat, HarimauMalaya.com Solutions Enterprise (HMC Solutions) bertujuan mengumpul dana bagi menjalankan aktiviti mereka pada masa depan.